1. Tuntutlah
ilmu sebanyak mungkin kerana ia dapat menjaga dan membuat kamu cemerlang di
dunia dan akhirat.
2. Perbanyakkan
menyebut Allah daripada menyebut makhluk. Perbanyakkan menyebut akhirat
daripada menyebut dunia.
3. Pilihlah
makanan yang halal kerana ia menjamin kesihatan dan menyebabkan syaitan
gerun.
4. Sabar
menghadapi musibah adalah sebesar-besar erti sabar di mana sabar itu sendiri
memerlukan kesabaran pula. Bala dan musibah menunjukkan adanya perhatian dan
kasih sayang Allah. Oleh itu, bersyukurlah kerana syukur yang sedemikian
setinggi-tinggi erti syukur.
5. Apabila
salah seorang antara kaum kerabat ataupun jiran dan saudara kamu sakit, kamu
perlu ringankan langkah menziarahinya kerana ia disaksikan oleh malaikat
dan dan dicintai Allah.
6. Marah
adalah salah satu antara panah-panah syaitan yang mengandungi racun. Oleh itu,
hindarilah ia supaya dapat menewaskan syaitan dan bala tenteranya.
7. Kasihanilah
anak yatim kerana Rasulullah juga tergolong sebagai anak yatim dan
beliau akan bersama-sama dengan orang yang menyayangi dan mengasihi anak-anak
yatim di akhirat.
8. Berbuat
baik dan tunjukkan bakti kepada ibu bapa tanpa mengenali letih dan lelah
sebagaimana mereka berbuat begitu sepanjang hayat mereka. Ia dapat menambah
keberkatan pada umur, menambah rezeki dan keampunan atas dosa-dosa kamu.
9. Banyakkanlah
amal soleh kerana ia adalah pendinding dan perisai orang mukmin dan
pelindung kepada serangan iblis.
10. Takwa
adalah pakaian kebesaran dan hiasan akhlak Muslim sebenar. Ia ibarat pokok
zaitun, minyaknya membawa barakah, ia juga memberi kejayaan dan kemenangan.
11. Iman
mempunyai bentengnya bagi menghalang segala serangan yang cuba merobohkannya.
Oleh itu bagi menguatkan benteng iman, keimanan perlu dibajai dengan lima
perkara, yakin, ikhlas, mengerjakan amalan sunat, istiqamah, bertatasusila
ataupun berdisiplin dalam mengerjakan ibadah.
12. Ingat
dan zikir kepada Allah sebanyak-banyaknya kerana ia mengubati penyakit
jasmani dan hati. Ia mencetuskan ketenangan hidup dan qanaah.
13. Khusyuk
secara zahir adalah khusyuknya orang awam, khusyuk secara batin adalah
khusyuknya orang pilihan di sisi Allah.
14. Kubur
adalah perhentian sementara bagi membolehkan ke satu perhentian lagi yang penuh
dengan soal siasat. Oleh itu, siapkanlah jawapan yang adil dan benar menerusi
amal yang benar dan taat kepada al-haq yang tidak berbelah bagi.
15. Kita
perlu sentiasa memohon perlindungan daripada Allah, sekurang-kurangnya
dengan mengucapkan "A'uzubillahi minassaitathanirrajim". Kita perlu
bersabar sekiranya serangan syaitan datang juga bertalu-talu dengan hebat dan
menyedari Allah taala hendak menguji keteguhan sabar kita, hendak melihat
ketulenan jihad kita. Ketahuilah perang dengan syaitan itu lebih hebat daripada
perang sabil.
16. Sebesar-besar
keaiban (keburukan) adalah kamu mengira keburukan orang lain sedangkan
keburukan itu terdapat dalam dirimu sendiri.
17. Hati
adalah raja dalam diri. Oleh itu,lurus dan betulkan ia supaya empayar kerajaan
dirimu tegak di atas al-haq yang tidak disertai oleh iringan-iringan pasukan
kebatilan.
18. Ketahuilah
istighfar yang diucapkan dengan betul mampu membuat syaitan lari
ketakutan dan menggoncang empayar iblis di istana kerajaannya.
19. Ketahuilah
sebesar-besar kesenangan di dunia dan akhirat adalah memberi maaf kepada
orang lain dan melupakan terus kesalahannya. Allah pasti akan meninggikan
darjatnya di sisi manusia.
20. Tafakurlah
sebelum tidur bagi menghisab diri atas salah dan silap semasa aktiviti pada
siang hari sebagaimana Umar bin al-Khattab menyiasati dirinya dengan pelbagai
soalan berkenaan dosa-dosanya pada siang hari.
21. Sesiapa
yang mahu meninggalkan dunia dengan selamat, dia perlu mengamalkan perkara
berikut iaitu mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan bercakap
dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.
22. Kamu
seorang manusia yang dijadikan daripada tanah dan kamu juga akan
disakiti (dihimpit) dengan tanah.
23. Sesiapa
yang menjalin ukhuwah dan menghidupkannya, dia memperoleh banyak
kebaikan.
24. Allah
menjanjikan kepada orang yang beriman, mereka akan ditinggikan darjat dan
diberi kemuliaan selagi mereka menunaikan perintah Allah.
25. Allah
menjanjikan kepada orang yang beriman, mereka pasti mendapat pertolongan
Allah seperti dalam pernyataannya dalam surah ar-Ruum ayat 47 yang bermaksud,
“Dan adalah menjadi hak (tanggungjawab) kami untuk menolong orang yang beriman”.
26. Allah
menjanjikan kepada orang yang beriman, mereka pasti mendapat pembelaan daripada
Allah sebagaimana pernyataannya dalam surah al-Hajj ayat 38 yang bermaksud, “Allah
membela orang yang beriman”.
27. Allah
menjanjikan kepada orang yang beriman dan bertakwa, Allah pasti menaikkan
darjat mereka hingga ke taraf wali-wali Allah selagi memenuhi
syarat-syaratnya seperti dalam pernyataannya dalam surah al-Baqarah ayat 257
yang bermaksud, “Allah penolong (wali) bagi orang yang beriman”.
28. Allah
menjanjikan kepada orang yang beriman akan memberi petunjuk dan jalan
lurus sebagaimana pernyataan Allah dalam surah al-Hajj ayat 54 yang bermaksud,
" Allah akan memberi petunjuk bagi orang yang beriman kepada jalan yang
lurus."
29. Allah
menjanjikan kepada orang yang beriman, mereka akan memperoleh rezeki yang
baik dan pelbagai keberkatan selagi mereka menunaikan perintah Allah
sebagaimana pernyataannya dalam surah al-A'raf ayat 96 yang bermaksud, “Sekiranya
penduduk sesebuah kota beriman dan bertakwa pasti kami akan melimpahkan mereka
berkat dari langit dan bumi tetapi sekiranya mereka mendustakan ayat-ayat kami,
kami akan seksa mereka disebabkan perbuatan mereka”.
Comments
Post a Comment