Tanggal 6 Jun 2015, dengan izin Tuhan penguasa sekalian alam, telah berhimpun warga SIS 97-01 di Sekolah Izzuddin Shah bagi menghadiri Karnival Sukan, Program bersama Ustaz Pahmi dan Ziarah ke makam Allahyarham Ayob Bin Saidi.
Karnival Sukan
Sukan yang dipertandingan adalah bola sepak, bola tampar dan sepak takraw, yang berlangsung di antara warga SIS 97-01 dan warga SIS 01-05.
Keputusan Karnival Sukan
Bola Tampar : menang 3-0
Sepak Takraw : menang
Bola Sepak: tewas 0-3
Selesai perlawanan bola sepak, masing-masing bersiap sedia bagi menunaikan solat maghrib berjemaah. Azan maghrib dilaungkan khas oleh muazzin Dr Khairul Ikhwan dengan tarannum dari Yaman.
Selepas Solat maghrib berjemaah, suatu program tazkirah bersama Ustaz Pahmi telah berlangsung. Intipati tazkirah Ustaz Pahmi;
- 14 tahun dahulu, didikan telah diberikan semasa bersekolah di Sekolah Izzuddin Shah. Pada masa itu semuanya terjaga dan dipantau. Soalnya samada hasil didikan itu masih kekal atau tidak.
- Solat perlu ditunaikan pada waktunya. Begitu juga aktiviti lain harus berhenti pada waktunya (merujuk kepada perlawanan bola sepak yang berlangsung melewati jam 6.30). Apabila telah azan, maka tunaikan solat selepas 5 minit.
- Tidak perlu menunggu orang ramai sampai ke musolla baru hendak mulakan solat berjemaah. Jam akan terus bergerak, tidak menunggu sesiapa. Begitu juga waktu solat, kalau tiada orang sekalipun, waktu tetap masuk.
- Seperti yang pernah disebut Saidina Ali r.a, apabila keburukan kita diketahui orang, itu bukanlah kali pertama kita melakukan keburukan tersebut. Allah telah tutup keburukan kita sebelum ini, namun ia tetap kita ulangi dan sampai satu ketika, orang akan tahu juga keburukan kita itu. Ustaz menceritakan kisah seorang pelajar yang dahulunya pernah dituduh menghisap rokok, namun beria-ria menafikan. Apabila beliau selesai pengajian, beliau datang ke sekolah dan terserempak dengan ustaz dan gagal menyembunyikan rokok yang terdapat di dalam poket baju atas. Lalu beliau mengakui beliau memang menghisap rokok masa di sekolah dahulu seperti yang didakwa orang.
- Apa yang dituntut oleh Islam perlu dikerjakan sekalipun apabila berada di kelompok majoriti bukan Muslim. Ada seorang guru Muslim pernah menjadi pengacara majlis di sebuah sekolah cina yang terdapat hanya dua orang guru Muslim. Guru tersebut memulakan ucapan dengan “Salam Sejahtera” dan meninggalkan salam. Hal ini ditegur oleh Pengetua yang berbangsa cina, kenapa tidak dimulakan dengan salam. Kata Ustaz, mula-mula Nabi berdakwah dahulu, memang Baginda seorang sahaja Islam, tidak pula Baginda meninggalkan amalan Islam hanya kerana berada di dalam kelompok majoriti musyrikin Mekah.
- Amalan yang pernah dilakukan di sekolah dahulu perlulah dikekalkan. Ia bukanlah sesuatu yang baru kerana ia sebahagian dari cara hidup di sekolah dahulu, seperti solat berjemaah.
- Apabila berada di dalam masyarakat, perlu tonjolkan akhlak yang bersesuaian dengan akhlak seorang bekas pelajar Sekolah Izzuddin Shah. Sikap “tidak mahu dikenali sebagai pelajar Sekolah Izzuddin Shah” tidak lain tidak bukan adalah supaya senang untuk kita melakukan benda yang tak ketentuan hala. Hal ini tidak sepatutnya terjadi, biar orang tahu kita pelajar Sekolah Izzuddin Shah supaya kita ada rasa malu untuk membuat perkara yang kurang baik.
- Ustaz memberi perumpamaan, para pelajar Sekolah Izzuddin Shah ini ibarat kemenyan. Dahulunya, kemenyan dibakar agar bau harum kemenyan itu dapat menutup bau kurang enak yang terbit dari jenazah. Setiap pelajar itu penuh kebaikan, namun kalau tak ditonjolkan tidak dapat memberi faedah kepada orang lain. Kata Ustaz, “Jika setinggi Gunung Kinabalu sekalipun kemenyan, kalau tak dibakar, tidak berbau.
- Ustaz juga menyatakan bahawa apa jua tindakan Ustaz sewaktu kita di sekolah dahulu adalah ikhlas, termasuk hukuman. Justeru, hukuman yang ikhlas itu tidak boleh dibalas (HAHAHAHAHA).
Selepas itu kami solat Isya' berjemaah dan acara santapan bermula. Juadah disediakan oleh pengendali makanan Sir Sedol.
Ziarah ke Kubur Allahyarham Ayob
Pagi 7.6.2015, peserta rombongan ke makam Allahyarham Ayob Bin Saidi telah memulakan hari dengan sarapan di Taman Cempaka, Ipoh sebelum bertolak ke tempat persemadian Allahyarham Ayob.
Allahyarham Ayob telah meninggal dunia akibat lemas pada tahun 1999. Beliau mengikut seorang rakan ke Bota seusai peperiksaan PMR.
Pagi 7.6.2015, peserta rombongan ke makam Allahyarham Ayob Bin Saidi telah memulakan hari dengan sarapan di Taman Cempaka, Ipoh sebelum bertolak ke tempat persemadian Allahyarham Ayob.
Allahyarham Ayob telah meninggal dunia akibat lemas pada tahun 1999. Beliau mengikut seorang rakan ke Bota seusai peperiksaan PMR.
Selepas acara di kubur, kami beredar ke Kedai Makan Mee Ketam Kampung Dew, Taiping. Di sana, Mat Nor, rakan yang berada di sisi Ayob sebelum beliau meninggal dunia telah menceritakan detik-detik terakhir beliau bersama Ayob. Majoriti kami tidak berjumpa dengan Mat Nor selama 16 tahun. Buat pertama kali, kami mendengar sendiri insiden dari individu yang menyaksikan pemergian Ayob ke alam baqa'. Lebih kurang jam 3.15 petang, majlis bersurai dan masing-masing berangkat pulang.
Postscript.
Dengan kehendak Allah jua, kami yang pernah menuntut bersama-sama 14 tahun yang lalu, berhimpun sekali lagi di bumi bertuah Sekolah Izzuddin Shah. Dengan rahmatNya jua, kami terdorong untuk menziarahi sahabat kami yang telah dijemput pergi ke sisiNya. Nabi SAW pernah bersabda, di antara tujuh golongan yang dinaungi Allah di hari kiamat ialah dua orang yang saling mengasihi, bertemu dan berpisah kerana Allah. Semoga ukhuwwah antara kami kekal abadi sehingga hari dibangkitkan nanti.
Terima kasih kpd noor firdaus atas lapora yang komptehensif. Semoga program seperti ini diteruskan lagi dan lebih ramai ahli akan turut serta.
ReplyDelete