Ramadhan kini tiba di penghujungnya. Sudah pasti kita akan merindui kedatangannya yang hanya akan muncul sebulan dalam masa setahun. Kini kita terpaksa menunggu 11 bulan sebelum ketibaan kembali Ramadhan, bulan yang penuh barakah, yang salah satu malamnya tersembunyi lailatul qadr.
Berakhirnya Ramadhan akan berganti dengan Syawal, yang akan disambut dengan penuh kemeriahan sebagai tanda kemenangan. Kemeriahan yang disambut setiap lapisan umur secara tidak langsung dapat mengurangkan kesedihan yang melanda. Dalam pada masa yang sama, Allah juga menyuruh kita sebagai umat Islam agar mengiktiraf akan kebesaranNya dengan mengucapkan 'Takbir' pada malam Eidul Fitri dengan gema yang mampu menggemparkan para syaitan.
Walaubagaimana pun, sebagai seorang manusia, kita tidak lari daripada melakukan kesilapan. Dalam kemeriahan yang terasa, terdapat beberapa kesilapan yang kita lakukan sama ada secara sedar atau pun tidak, ketika menyambut Eidul Fitri.
Lupa bahawa Eidul Fitri adalah ibadat
Kesilapan ini berlaku apabila seseorang muslim yang menyambut Eidul Fitri tidak merasakan bahawa ia adalah suatu bentuk ibadat kepada Allah SWT. Eidul Fitri dianggap sama seperti perayaan agama-agama lain. Apabila terlupa aspek ibadat, maka keseronokan menguasai suasana dan akan menjadi fokus utama. Bergembira, berpesta dan berhari raya dalam keadaan tidak menyedari apakah sebenarnya yang sedang dirayakan.
Abaikan Sunnah Eidul Fitri
Kebanyakan daripada kita sering mengabaikan perkara-perkara sunat seperti bertakbir, mandi sunat Eidul Fitri, memakai pakaian terbaik dan wangi-wangian, sebaliknya hanya memilih beberapa amalan sahaja. Kita hanya menitikberatkan baju baru, solat hari raya dan ziarah sahaja. Bahkan ada yang hanya hadir menunaikan solat sunat Eidul Fitri tetapi tidak mendengar khutbah lalu terus beredar sebaik sahaja selesai menunaikan solat. Takbir di malam raya bertukar menjadi 'tawaf' di gerai-gerai jualan penghabisan stok malam raya, atau ditenggelami kemeriahan bersama ahli keluarga menyiapkan susunan kuih raya, perabot, sofa, langsir dan sebagainya.
Beraya dengan televisyen dan permainan video
Ramai yang memilih untuk 'iktikaf' di hadapan televisyen pada hari raya sambil begitu seronok menikmati hidangan-hidangan yang disajikan sehingga amat sukar diajak bersama-sama menziarahi sanak saudara. Ada juga yang sibuk dengan permainan-permainan dalam gajet masing-masing sehingga bersalaman pun hanya sekadar berhulur tangan, sedangkan matanya asyik dengan permainan di tangan.
Bermaafan sekali setahun
Ada pasangan suami isteri yang hanya bermaafan pada hari raya sahaja. Begitu juga sebahagian anak-anak yang hanya memohon ampun dan maaf daripada ibu bapanya, hanya pada pagi Eidul Fitri. Demikianlah dalam persahabatan, bersama jiran tetangga, rakan sepejabat dan sebagainya, ada yang hanya 'menyusun sepuluh jari' sempena Eidul Fitri sahaja, sedangkan kesalahan dan kesilapan yang dibuat bolehlah dikatakan kerap berlaku.
Maksiat Eidul Fitri
Pergaulan yang bebas tanpa batasan ditambah pula pendedahan aurat terutamanya golongan wanita dengan fesyen-fesyen pakaian yang disifatkan oleh Rasulullah SAW sebagai 'berpakaian tetapi telanjang' menjadi perkara yang sangat berleluasa ketika menyambut Eidul Fitri. Begitu juga perbuatan bersalaman antara lelaki dan wanita yang bukan mahram, sama ada di kalangan ahli keluarga, ipar duai dan sahabat handai, menjadi perkara yang wajib dielakkan dalam keriangan kita menyambut hari lebaran ini. Lebih malang lagi sekiranya ada antara kita yang meninggalkan solat kerana terlalu asyik beraya sehingga keletihan sedangkan solat itu merupakan salah satu daripada rukun Islam dan juga menjadi tiang agama.
Ziarah Kubur
Ada juga antara hanya mengkhususkan hari raya sahaja untuk menziarahi, mengingati dan mendoakan ahli keluarga serta sanak saudara yang sudah meninggal dunia sedangkan ketika pulang bercuti pada waktu lain, mereka tidak 'diziarahi dan didoakan'. Selain itu, menziarah kubur bukan untuk bersedih atau melemahkan semangat seseorang untuk terus mengharungi kehidupan tanpa insan tersayang, tetapi ia mengingatkan kita agar terus bersemangat dalam memanfaatkan kehidupan ini bagi menyediakan bekalan untuk bermusafir ke alam akhirat nanti.
Open House
Hukum asal mengadakan 'open house' adalah harus, iaitu hokum menyediakan juadah dan menjemput tetamu menikmatinya bersama-sama. Walaubagaimana pun, sekiranya ia dilakukan dengan penuh kesombongan dan perasaan ingin menunjuk-nunjuk kehebatan majlisnya atau pun dengan hanya mengkhususkan jemputan kepada golongan-golongan kaya sahaja dan menafikan jiran-jiran berdekatan semata-mata status jiran yang lebih rendah, ditambah pula dengan pembaziran yang berlaku, maka dibimbangi majlis bakal bertukar menjadi sebab untuk mendapat dosa, bukannya ibadat Eidul Fitri lagi.
Untuk itu, marilah kita bersama-sama menadah doa memohon kepada Allah SWT supaya kita sentiasa dalam hidayah dan keteguhan, seperti mana yang disarankan oleh Syeikh Abdullah bin Abdul Rahman al-Jabarin, seorang ulama Saudi.
Firman Allah yang bermaksud:
"Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau condongkan hati kami kepada kesesatan setelah Engkau berikan petunjuk kepada kami dan kurniakanlah rahmat kepada kami dari sisi-Mu, sesungguhnya Engkau Maha Pemberi" (Ali Imran: 8).
InshaAllah...
..ana share ya.
ReplyDelete