Assalamualaikum wbt.
Tazkirah malam ini datang dalam bentuk bingkisan doa dua orang nabi. Doa yang pertama terselit dalam ayat ke 83, Surah Al-Anbiya'.
Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: "Sesungguhnya aku ditimpa (touched) penyakit (dugaan/adversity), sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani".
Nabi Ayub sebenarnya tidak terlalu banyak kisah tentangnya dalam Al-Quran. Lantaran itu ayat-ayat sebegini adalah permata yang berharga yang harus kita perhalusi. Nabi Ayob diuji Allah dengan penyakit yang amat teruk sehingga dia dipinggirkan masyarakat dan cuma isterinya yang setia sahaja yg menjaganya. Dalam doa baginda seperti di atas, ada dua pilihan perkataan yang menarik. Yang pertama, baginda gunakan perkataan "massa" yang membawa tafsiran "sentuh". Baginda tidak menggunakan perkataan seperti "dilanda", "disiksa", mahupun perkataan "ditimpa" seperti dalam tafsir quran yg kebiasaannya. Walaupun teruk terlantar sakit, pada pendapat baginda itu cuma sebuah mudarat kecil.
Ini membawa kita kepada perkataan kedua iaitu "Durr". Baginda berdoa, "aku telah disentuh oleh "Durr". Secara simplistiknya ia boleh ditafsir sebagai penyakit. Tetapi perkataan itu boleh juga membawa tafsiran kepada sebarang kemudaratan yang membawa kepada ketidakupayaan. Sebagaimana terlantar teruknya baginda yang tidak berupaya berbuat apa di waktu sakit itu.
Apa yg hebatnya tentang doa ini adalah cara Nabi Ayob berdoa. Sudahlah baginda sakit teruk, tapi dalam lafaz doanya, dia cuma sekadar disentuh oleh kemudaratan. Yang lebih hebat lagi, doa ini adalah sebuah doa yg tidak meminta apa-apa dari Allah kerana baginda sudahi dengan ayat, "Waanta arhamur rahimiin" : sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani.
Ustaz NAK memberi satu analogi cantik tentang doa ini. Kita bayangkan seorang anak kecil yang berkata pada ibunya "Saya sayang ibu, saya lapar sikit la ibu". Cuma dengan kata-kata sebegitu, dengan kasihnya ibu itu, pasti dia faham dan segera memberi anaknya makan. Begitulah juga tingginya tahap cinta Nabi Ayub kepada Allah, hingga tidak perlu lagi meminta-minta. Lalu dalam ayat seterusnya Allah berfirman:
Maka Kami perkenankan doa permohonannya, lalu Kami hapuskan penyakit yang menimpanya, serta Kami kurniakan kepadanya: keluarganya, dengan seganda lagi ramainya, sebagai satu rahmat dari Kami dan sebagai satu peringatan bagi orang-orang yang taat kepada Kami (supaya bersabar dan mendapat balasan baik).
Allah perkenankan doa Nabi Ayub. Dan Allah lipatgandakan kurniaan kepadanya. Doa ini wajar kita amalkan terutama di saat kita berduka "disentuh" sesuatu "kemudaratan". Terutamanya apabila di hujung ayat ini Allah selitkan special reminder: "Wazikra lil'abidin" : a reminder to the worshippers [of Allah]. Acapkali doa para Nabi muncul dalam Al-Quran, tapi untuk doa Nabi Ayub ini Allah sertakan bersama peringatan buat kita semua yang membuktikan betapa istimewanya doa ini.
Panjang kan? Kita sambung sedikit lagi dengan doa kedua. InsyaAllah saya cuba ringkaskan. Kali ini, Doa Nabi Sulaiman dari Surah An-Naml, Ayat 19. Tafsirannya berbunyi:
Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu, dan berdoa dengan berkata:" Wahai Tuhanku, ilhamkanlah (perkukuhkan/empower) daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh".
Saya ambil intipatinya sahaja ya. Nabi Sulaiman ketika diagungkan oleh semut ketika itu bukannya tersenyum bangga. Walaupun baginda manusia paling berkuasa dan paling hebat ketika itu. Sebaliknya kegembiraan itu adalah gembira yang penuh syukur yang terbukti dengan doa baginda.
Kata kunci paling penting adalah perkataan "auzi'ni" atau 'auza'a yg paling hampir boleh ditafsirkan sebagai "empower" atau perkukuhkan. Dalam doanya, baginda bermohon agar Allah perkukuhkan rasa syukur terhadap nikmat yg telah diberi kepada baginda, dan juga kepada kedua ibubapa baginda.
Apa yang menariknya, orang sehebat Nabi Sulaiman yg menguasai segala-galanya ketika itu memohon agar dikurniakan syukur atas segala kurniaan. Begitulah seharusnya kita juga bila kita berada di posisi kuasa tidak kira sekecil mana. Absolute power corrupts absolutely: Lantaran itulah kita harus berdoa sepertimana Nabi Sulaiman agar kita diperkukuhkan rasa syukur. Agar kita tidak lupa bahawa semuanya dari Allah dan yang hebat itu bukanlah kita.
Baginda juga menyebut ttg amal soleh yg Engkau redhai. Baginda seorang pemimpin hebat yg pastinya apa sahaja baginda buat, tak akan dicemuh sesiapa. Tapi apa yg baginda cari adalah keredhaan Allah. Betapa hebatnya jika kita boleh didik hati kita sebegitu.
Satu lagi yang menarik adalah syukurnya Nabi Sulaiman bukan sekadar atas nikmat kepadanya, tapi juga nikmat ke atas kedua ibubapanya. Secara ringkasnya, siapalah kita tanpa ibubapa kita. Lantaran itu Ustaz NAK menggariskan bahawa satu cara kita mengukur syukur kita adalah dengan melihat kembali layanan kita terhadap kedua ibu bapa kita sendiri.
Pengajaran terakhir sekali adalah penutup doa ini apabila Nabi Sulaiman, seagung-agung penguasa di zaman itu memohon agar ditempatkan bersama dalam kumpulan hamba-hambaMu yg soleh. Kata kunci di sini adalah rasa rendah diri (humility). Walaupun baginda hebat, baginda tidak terus menganggap dirinya soleh, tapi meminta agar ditempatkan bersama mereka yang soleh. Begitulah juga harusnya kita berusaha untuk berada di kalangan mereka yang soleh. Kerana inilah kunci bagi permintaan di awal ayat, cara untuk memperkukuh syukur adalah dengan menempatkan diri kita bersama mereka yang soleh yang pastinya bersyukur.
Sebelum kata melajak bicara, izinkan saya simpulkan tazkirah berjela malam ini. Saya pilih untuk berkongsi dua doa ini kerana kontrasnya yg amat jelas. Dua dia dari dua Nabi. Nabi pilihan Allah, sebaik-baik manusia. Seorang diuji dengan kesusahan dan seorang lagi diuji dengan kekuasaan. Tapi kedua-duanya teguh bersyukur kepada Allah. Itulah yang saya cuba ingatkan kepada diri sendiri: betapa susah atau senangnya hidup ini, bersyukurlah. Syukur, satu perkataan yang murah dijaja merata-rata saban hari, tapi mahal harganya untuk kita semat dalam hati.
Comments
Post a Comment